Auto Added by WPeMatico
Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham Iman Zhafran – KPM

![]()
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan keluarga Allahyarham Iman Zhafran berkaitan kejadian kematian di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada bulan lalu.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia dan meminta agar semua elemen berkaitan kejadian itu disiasat secara menyeluruh.
“KPM meminta supaya semua aspek berkaitan kejadian ini disiasat dengan teliti. Ketika ini, kes masih dalam siasatan pihak polis.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham Iman Zhafran,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bahawa keluarga kepada murid tahun empat, Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizuddin, yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, menuntut agar pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
Menurut peguam keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma guaman Tetuan Yazid Tishondra, desakan tersebut dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun KPM. – KOSMO! ONLINE
The post Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham Iman Zhafran – KPM appeared first on Kosmo Digital.