Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM175,452.80 diperdaya sindiket penipuan kononnya menawarkan tender pembekalan barangan sukan dan cenderamata kepada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Setiu yang sebenarnya tidak wujud.
Lelaki berusia 50 tahun itu yang meyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.32 tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, adik angkat peniaga tersebut yang menerima panggilan daripada suspek telah menawarkan tender tersebut kepada mangsa ekoran tiada kekurangan modal.
“Tender pembekalan terbabit kononnya ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk sebuah kolej universiti terletak di Setiu.
“Mangsa bersetuju untuk membekalkan barangan sukan tersebut sebelum suspek yang mengenalkan diri kononnya pegawai KBS memohon penambahan cenderamata seperti buah kurma, replika keris dan plag pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, peniaga terbabit membuat pesanan cenderamata terbabit daripada pembekal yang disyorkan suspek.
Beliau berkata, lelaki itu membuat pembayaran menerusi beberapa transaksi ke akaun bank diberi suspek.
“Begitupun mangsa mendapati tempahan bagi tender berkenaan sebenarnya tidak wujud malah semakan mendapati suspek yang menghubunginya juga bukan kakitangan KBS,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Peniaga rugi lebih RM175,000 diperdaya tender barangan sukan, cenderamata palsu appeared first on Kosmo Digital.