Auto Added by WPeMatico

GUA MUSANG – Seorang lelaki tidak kisah bergelumang dengan bahan buangan yang busuk bagi mencari barangan terbuang di tapak pelupusan sampah sementara Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) di Kampung Kundur, di sini.
Wan Azli Wan Abdullah, 37, yang tinggal di Kampung Rahmat, di sini, berkata, biarpun mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM1,700 sebulan sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, dia tetap melakukan pekerjaan sampingan sebagai pengutip sampah untuk mencari wang tambahan sejak dua tahun lalu.
“Saya memperoleh pendapatan kira-kira RM400 sebulan hasil jualan barangan kitar semula. Saya datang ke tapak pelupusan ini tiga hingga empat kali seminggu untuk mencari barangan seperti tembaga, tin, botol plastik dan barang-barang terpakai lain.
“Saya melakukan pekerjaan mengutip barangan terpakai bermula pukul 8 pagi sehingga menjelang waktu tengah hari. Dari tempat membuang sampah ini banyak barangan yang saya boleh jual dan mendatangkan duit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, dia tidak mempedulikan rasa malu mengutip sampah dan barang terpakai demi menyara isteri serta membesarkan tiga anak berusia empat hingga 10 tahun.
“Terdapat kira-kira 20 orang menjadikan pekerjaan pencari sampah sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya.
Sementara itu, bapa mentua Wan Azli, Hassan Sudin, 58, berkata, dia juga menjadikan pekerjaan mencari sampah sebagai sampingan untuk menyara ahli keluarganya.
“Saya ke tempat pelupusan sampah itu bersama menantu untuk mencari barangan terpakai. Bagi tembaga, harganya RM25 setiap sekilogram, tin minuman ringan RM3 sekilogram, dan botol plastik 40 sen sekilogram.
“Kami sudah ada pemborong tetap dan setelah barangan dikumpul dan dimasukkan ke dalam guni, kami akan terus menjualnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Tangan ajaib Wan Azli buat sampah jadi duit appeared first on Kosmo Digital.