Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Tindakan tidak bertanggungjawab seorang pelancong asing yang membiarkan anaknya membuang air kecil di kawasan terbuka berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) mengundang kecaman daripada pengguna media sosial.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Afest_t, seorang wanita dilihat membiarkan kanak-kanak yang dipercayai anaknya selamba membuang air kecil di hadapan bangunan KLCC tanpa menghiraukan orang sekeliling.
“Selamba kau sahaja bagi anak kau kencing dekat situ,” katanya.
Kelakukan tersebut secara tidak langsung mencetuskan kemarahan pengguna yang menyifatkan perbuatan pelancong tersebut sebagai tidak beradab dan mengetepikan aspek kebersihan serta kemudahan tandas awam yang sedia ada di dalam bangunan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna menggesa pihak berkuasa atau pengurusan bangunan mengenakan tindakan tegas sekiranya mengesan kelakuan sedemikian.
“Tak boleh ke kita saman atau kenakan kompaun dekat mereka? Kalau dekat Singapura, kau tak boleh buat macam ini sebab denda yang sangat tinggi,” tegas Human.cat10.
Malah, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir sama di premis perniagaan masing-masing membabitkan segelintir pelancong asing yang kekurangan kesedaran sivik.
“Dalam kafe ada tandas tapi disuruhnya anak dia kencing dekat tempat merokok. Lepas itu hulur duit nak bagi kita senyap. Ini bukan pasal duit, ini pasal adab dan ‘common sense’,” ujar Muhdkhairul18. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Selamba bagi anak kencing depan KLCC’ appeared first on Kosmo Digital.
