Auto Added by WPeMatico

![]()
JASIN – Kerajaan Negeri Melaka tidak akan melantik pengganti bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta lantikan politik lain yang dikosongkan wakil Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keputusan itu dibuat kerana tempoh pentadbiran kerajaan negeri ketika ini tidak lagi berbaki lama, sekali gus tidak memerlukan sebarang pelantikan baharu.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini, jawatan itu terbubar secara automatik dan kita tidak akan mengisi kekosongan tersebut kerana kita tidak mempunyai ruang waktu yang cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, beliau menerima keputusan PH untuk tidak lagi bersama pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dengan hati yang terbuka.
Menurutnya, perbezaan pendirian politik tidak seharusnya dijadikan medan permusuhan atau serangan peribadi sehingga menjejaskan keharmonian rakyat.
“Itu pilihan mereka sebenarnya, kita pun tidak mahu memanjangkan lagi permasalahan ini dan jika itu pilihan mereka untuk tidak bersama kerajaan, kita terima dengan hati yang terbuka.
“Cuma kita tidak mahu perkara ini menjadi medan pergaduhan atau serangan yang tidak baik kerana semua pihak boleh menyuarakan pandangan, tetapi biarlah secara profesional dan boleh diterima oleh seluruh rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kekosongan jawatan PH dibiar hingga PRN – Rauf appeared first on Kosmo Digital.
