Auto Added by WPeMatico
889,490 pilih kerajaan baharu Negeri Sembilan

![]()
SEREMBAN: Hari ini bakal menjadi detik penentu kepada 103 orang calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila 889,490 pengundi membuat pilihan parti manakah yang akan menerajui pentadbiran negeri untuk lima tahun akan datang.
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan dengan semua parti utama memasuki hari pengundian tanpa berani menjanjikan kemenangan besar, apatah lagi memperoleh majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Negeri Sembilan sejak dua penggal lalu hanya meletakkan sasaran memenangi sekitar 20 hingga 22 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah sebanyak 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Barisan Nasional (BN) pula yang bertanding di 25 kerusi dengan sokongan Perikatan Nasional (PN) di baki 11 kerusi turut menyasarkan jumlah kemenangan yang hampir sama manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal optimis mampu mencipta kejutan walaupun pemerhati politik melihat cabarannya lebih sukar.
Sementara itu, seramai 859,760 daripada 889,490 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 7,391 pengundi telah selesai menjalankan pengundian secara pos.
Beliau berkata, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,669 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang hari ini bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Setakat ini (semalam) semua pusat mengundi sudah bersedia untuk menerima pengundi bermula pukul 8 pagi hari ini. Semalam kita turut meninjau proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin.
“Proses sama juga sedang berjalan di semua pusat penjumlahan undi di seluruh Negeri Sembilan membabitkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan persiapan pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana Tampin di sini, semalam.
Ramlan berkata, hasil tinjauan mendapati semua persiapan berada pada tahap siap siaga dan proses pengundian hari ini dijangka berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, beliau berkata, SPR menyasarkan keputusan awal PRN Negeri Sembilan dapat diumumkan seawal pukul 10 malam ini.
“Kita cuba mengeluarkan keputusan paling awal sekitar pukul 10 malam. Bagi keputusan penuh pula, kita cuba selesaikan sebelum pukul 12 tengah malam.
“Kita berharap sebelum tengah malam semua keputusan bagi kesemua DUN dapat diumumkan,” katanya.
Daripada 103 calon yang bertanding, PH meletakkan 36 calon, diikuti BN (25), Bersatu (24) dan PN (11), manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon serta empat calon Bebas.
Sebanyak 21 DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 kerusi dua penjuru, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat dan lima penjuru.
Ia menjadikan persaingan PRN Negeri Sembilan kali ini antara yang paling sengit dalam sejarah pilihan raya negeri.- UTUSAN
The post 889,490 pilih kerajaan baharu Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.
