Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menambah 18 lokasi baharu tempat teduhan bagi penunggang motosikal di lebuh raya utama negara tahun ini bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan kemudahan itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melibatkan beberapa lebuh raya.
Jelas beliau, sebanyak enam kemudahan itu akan dibina di Lebuh Raya Utara-Selatan, empat di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 dan masing-masing dua lokasi di Lebuh Raya Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT).
Turut akan disediakan katanya adalah di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
“Sebanyak 218 tempat teduhan penunggang motosikal telah berjaya disiapkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, menjadikan keseluruhan tempat berteduh penunggang motosikal di sepanjang lebuh raya berjumlah 571.
“Inisiatif program ini didapati berkesan dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan penunggang motosikal di lebuh raya,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator R. Thiagarajah mengenai langkah keselamatan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan lebuh raya bagi mengurangkan risiko kepada penunggang motosikal.-KOSMO! ONLINE
The post KKR tambah 18 kawasan teduhan penunggang motosikal di lebuh raya appeared first on Kosmo Digital.
