Auto Added by WPeMatico

BALIK PULAU – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan
menganiaya anak perempuan berusia 12 tahun hingga mangsa mengalami kecederaan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Chew Kok Wan, 47, dan isteri Mak Wai Peng, 49, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan mereka di sebuah kondominium di Lorong Kenari, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 18 Mei lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, V. Parthipan.
Ketika prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 seorang namun Parthipan merayu agar jaminan minima dikenakan terhadap anak guamnya atas beberapa alasan.
“Bapa mangsa bekerja sebagai penyelia kilang dengan gaji bulan RM5,500 manakala isterinya sebagai Pengurus Projek dengan gaji bulanan RM7,000.
“Ibu mangsa baru bekerja lapan bulan lalu dan baru selesai menjalani pembedahan awal kanser ovari di sebuah hospital swasta serta perlukan rawatan susulan.
“Ketika ini, kedua-dua tertuduh mempunyai seorang lagi anak berusia 15 tahun dan mereka juga masih menjaga kedua ibu bapa yang uzur serta mempunyai pinjamam kewangan untuk kereta dan rumah,” katanya.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan terhadap tertuduh masing-masing RM10,000 serta dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga selesai.
Antara syarat tambahan lain adalah tertuduh diminta menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 1 Julai ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menahan sepasang suami isteri berusia 47 Dan 49 tahun bagi membantu siasatan kes seorang murid perempuan disyaki didera termasuk dikurung dalam sangkar anjing.
Kes tersebut terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada guru besar sekolah mangsa pada Selasa lalu. -KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri tak mengaku dera anak 12 tahun appeared first on Kosmo Digital.