Auto Added by WPeMatico

![]()
MEKAH – Bermula hanya dengan simpanan RM10 sebulan, disiplin serta pengorbanan seorang ibu akhirnya menghadiahkan pengalaman paling bermakna buat keluarganya apabila 10 adik-beradik berjaya menunaikan ibadah haji bersama pada musim ini.
Menurut Muhammad Huzair Zakhal, 39, ibunya, Azizah Zaudi, 69, telah membuka akaun simpanan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk semua anak sejak kecil sebagai persediaan awal menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada masa depan.
Katanya, hasil tabungan itu, mereka berjaya didaftarkan untuk menunaikan haji seawal tahun 2009 dengan simpanan asas sebanyak RM1,300 setiap seorang.
“Mak kami mulakan dengan simpanan RM10 sebulan untuk setiap anak, kemudian meningkat kepada RM20. Lama-kelamaan jumlah itu akhirnya mencukupi untuk pendaftaran haji.
“Selain itu, duit raya kami juga disimpan ke dalam Tabung Haji. Hasilnya, kami hanya dapat merasai nikmat menunaikan haji pada tahun ini. Selepas itu, akaun tersebut diserahkan kepada kami untuk diuruskan sendiri sehingga mencukupi bagi menunaikan ibadah haji,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Muhammad Huzair berkata, hasrat ibu bapanya untuk melihat semua anak menunaikan haji bersama hampir tidak tercapai apabila ada dalam kalangan mereka yang belum mencukupi simpanan.
Bagaimanapun, ibunya sanggup membantu melengkapkan baki simpanan demi memastikan kesemua mereka dapat berangkat bersama.
“Mak kata dia sanggup tanggung supaya semua anak dapat pergi bersama. Itu memang hajat mak ayah kami sejak dahulu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
The post Sepuluh beradik tunai haji hasil simpanan ibu RM10 sebulan appeared first on Kosmo Digital.
