Auto Added by WPeMatico

PEKAN – Tiada lagi belaian manja dan kasih sayang ibu bapa buat empat beradik yang yatim piatu dalam sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran Felda Pemanis, Segamat, Johor, kira-kira pukul 2 petang semalam.
Mangsa, Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan Nur Syamimi Rosli, 36, meninggalkan empat anak perempuan iaitu Nur Qairaa Eryna Mohd Izuddin, 2, Nur Naura Eryna, 4, Nur Airaa Eryna, 7, dan Nur Izzara Eryna, 11, yang kini menumpang kasih saudara terdekat.
Nur Izzara Eryna yang merupakan anak sulung dan adiknya Nur Airaa Eryna kelihatan menangis ketika diberi peluang kali terakhir melihat dan mencium wajah ibu dan bapa mereka di masjid sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Dua lagi anak mangsa yang berusia dua dan empat tahun kelihatan masih tidak memahami apa-apa dan ada kalanya hanya memanggil kakak mereka.
Adik bongsu kepada Nur Syamimi, Nur Izzah Ezzaini Rosli, 26, berkata, ketika kejadian, anak pertama dan kedua mangsa berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Jaya, di sini, manakala dua lagi anak mereka masing-masing dijaga keluarganya dan keluarga mentua kakaknya.
“Ketika kejadian, kakak dan abang ipar dalam perjalanan berjumpa dengan pelanggan untuk menghantar barang kemas di Segamat.
“Pagi itu, kakak dan abang ipar ada singgah di kedai emas milik mereka untuk mengambil barang kemas, tetapi saya hanya sempat berjumpa abang ipar kerana kakak hanya menunggu di dalam kereta,” katanya yang bekerja di kedai emas berkenaan.
Nur Izzah memberitahu, mereka sekeluarga belum berbincang mengenai penjagaan empat anak mangsa dan akan berbuat demikian selepas semua urusan berkaitan selesai.
Terdahulu, solat jenazah pasangan berkenaan dilakukan di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, di sini, kira-kira pukul 9.15 pagi yang dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, 300 orang di sini, dan dikebumikan dalam satu kubur yang mana proses pengebumian selesai kira-kira pukul 10.45 pagi.
The post Empat beradik yatim piatu sekelip mata appeared first on Kosmo Digital.