Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ES kira-kira tiga minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Izuwan Mohamad Saufi, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ES berwarna hitam milik seorang lelaki berusia 33 tahun di hadapan bengkel perabot di Jalan Kampung Cina di sini kira-kira pukul 6.20 petang pada 26 November lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 26 November lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Mekanik curi Yamaha 135LC dijel setahun appeared first on Kosmo Digital.