Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM300 juta dan 13 pengubahan wang haram membabitkan lebih RM100 juta.
Bagaimanapun tertuduh Abu Sahid, 74, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Kesemua pertuduhan membabitkan projek “Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn. Bhd”.
Bagi empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa sebagai Pengarah bagi syarikat Maju Holdings Sdn. Bhd. dan di dalam kapasiti tersebut kamudian diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta, iaitu wang milik Maju Holdings Sdn. Bhd. dalam akaun bank telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang yang kesemuanya berjumlah RM313 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Bukit Tunku, Taman Bukit Tunku di sini antara 3 Mei 2016 dan 21 Oktober 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan hendaklah juga boleh dikenakan denda.
Sementara bagi 13 pertuduhan Abu Sahid didakwa memindahkan wang kepada beberapa individu dan syarikat dan melupuskan wang yang
kesemuanya hasil daripada aktiviti wang haram berjumlah RM139 juta.
Kesalahan itu didakwa pada tempat sama antara 4 Mei 2016 dan 19 September 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, isteri Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, dan bekas pengarah syarikat pembinaan Datuk Yap Wee Leong, 68, masing-masing didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan dokumen palsu.
Mengikut pertuduhan, Noor Azrina didakwa atas satu pertuduban iaitu telah menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM67,136,588 menerusi akaun banknya dari akaun bank milik Abu Sahid Mohamed.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 di Bank Berhad bank sama Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini yang didakwa mengikut Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.
Wee Leong pula didakwa atas 17 pertuduhan telah dengan secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen dokumen untuk kerja-kerja
projek “Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA
For Maju Holdings Sdn Bhd” yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kesemua dokumen tersebut adalah palsu membabitkan RM314,486,100.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Sultan Ismail di sini antara Jun 2017 dan April 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Abu Sahid dan Noor Azrina diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik. Tertuduh Wee Leong diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman.
Mahkamah kemudian membenarkan Abu Sahid diikat jamin RM1.5 juta, Noor Azrina RM500,000 dan Wee Leonh RM1 juta berserta syarat tambahan kesemua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 November ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernila kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah.
Menurut sumber, sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara.
Kata sumber itu, menerusi penggeledahan SPRM telah menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan berjumlah lebih RM1 juta dan barang kemas berjumlah lebih RM4 juta.
SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Tan Sri Abu Sahid mengaku tidak salah pecah amanah, ubah wang haram appeared first on Kosmo Digital.