Auto Added by WPeMatico

![]()
SUBANG Jaya: Percubaan kali kedua Wan Nur Anissa Wan Nazri di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akhirnya membawa tuah apabila penembak Terengganu itu menamatkan penantian dengan meraih emas acara 25 meter (m) pistol wanita individu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang Jaya, semalam.
Anissa, 18, mengumpul 16 mata untuk muncul juara, menewaskan wakil Selangor, Halina Izreen Hasli Izwan yang meraih perak dengan 14 mata, manakala Saqyyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli dari Pahang membawa pulang gangsa selepas mengumpul 13 mata.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Anissa yang gagal meraih sebarang pingat ketika membuat penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024, sekali gus membuktikan penantiannya selama dua tahun berbaloi.
Lebih manis, emas itu hadir dalam acara kegemarannya yang sememangnya diletakkan sebagai sasaran utama sejak awal temasya, selain hadir dengan persediaan mental lebih baik bagi memburu kejayaan buat kontinjen Terengganu.
“Saya gembira sangat sebab memang sasaran saya adalah emas untuk acara ini. Ini acara kegemaran saya dan dari awal memang saya target emas.
“Saya sudah bersedia dari segi mental 100 peratus dan memberikan segala-galanya. Tetapi saya tidak sangka juga boleh menang kerana sebelum ini ada banyak cabaran, terutama untuk membahagikan masa antara latihan dan sekolah,” katanya.
Anissa berkata perbezaan paling ketara pada penampilan kali ini adalah semangatnya yang lebih berkobar-kobar untuk menghadiahkan emas kepada Terengganu, berbanding penyertaan pertamanya dua tahun lalu.
“Saya rasa saya buat perkara yang sama sahaja. Cuma kali ini semangat saya lebih besar daripada dua tahun lalu kerana saya betul-betul mahu beri emas kepada Terengganu,” katanya.
Namun, kejayaan Anissa dalam acara individu gagal diteruskan dalam saingan berpasukan apabila Pahang meraih emas dengan 1,685 mata menerusi gandingan Sayyeda Khadeeja, Damia Hani Mohamad Sakran dan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef.
Selangor membawa pulang perak dengan 1,608 mata, manakala Terengganu terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengumpul 1,549 mata menerusi Anissa, Nureen Aisya Azahari dan Farisya Mohd Fadzli Azri.-UTUSAN
The post Tuah emas Anissa hadir di Selangor appeared first on Utusan Malaysia.
