Auto Added by WPeMatico

PENYOKONG setia Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila penyerang berdarah warisan baharu, Rodrigo Holgado dijangka melapor diri dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan di Kuala Lumpur, esok.
Menurut pendedahan wartawan Colombia, Pipe Sierra, pemain kelab America de Cali sudah menyediakan segala dokumen dan tiket penerbangan untuk berlepas ke tanah air selepas berakhir aksi domestik semalam.
Holgado yang berusia 29 tahun bermain selama 70 minit untuk membantu pasukan seri 1-1 ketika menentang Independiente Medellin di Stadium Atanasio Girardot, Medellin, awal pagi semalam.
“Pengurusan skuad kebangsaan Malaysia sudah menghantar segala dokumentasi dan tiket penerbangan buat Holgado untuk terbang ke Malaysia.
“Holgado dijangka melaporkan diri buat kali pertama dalam kem latihan pusat pada Selasa nanti,” kata Sierra menerusi laman sosial X semalam.
Difahamkan, perjalanan pemain kelahiran Argentina itu sudah diselaraskan termasuk laluan penerbangan Medellin-Miami-Qatar-Malaysia.
Kehadiran Holgado bakal memberi nafas segar buat Harimau Malaya menjelang aksi menentang Vietnam bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Kelmarin, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub masih ‘berteka-teki’ mengenai status Holgado meminta semua pihak menunggu pengumuman daripada Cklamovski.
“Perkara itu (sama ada Holgado akan bermain atau tidak berdepan Vietnam) kita belum pasti, kita tunggu pengumuman daripada jurulatih,” katanya.
Selain Holgado, dua lagi pemain yang akan melaporkan diri dalam kem latihan pusat adalah Hector Hevel dan Dion Cools.
The post Pemain warisan baharu bakal lapor diri appeared first on Kosmo Digital.