Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Pemandu van persendirian Thailand yang tiada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) memperoleh pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil membawa penumpang dari negara berkenaan masuk ke Malaysia.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siasatan mendapati, pemandu van itu menetapkan tambang sebanyak RM70 hingga RM150 kepada seorang penumpang dari Thailand untuk perjalanan sehala ke negara ini.
Menurutnya, sebuah van tersebut mampu membawa seramai lapan hingga 10 penumpang setiap kali ‘trip’ (perjalanan) dari pintu sempadan di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak.
“Siasatan lanjut mendapati, mereka membuat kira-kira lima ‘trip’ seminggu dengan kebanyakannya membawa pekerja kedai tomyam yang masuk untuk mencari rezeki di Lembah Klang dan Johor.
“Mereka pada awalnya membawa masuk penumpang dan meninggalkan mereka di pintu sempadan. Selepas itu, pemandu van mengambil semula penumpang melebihi jarak dua kilometer sebelum membawa mereka ke destinasi yang dituju,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kebanyakan pemandu van Thailand mempunyai penumpang tetap yang akan masuk dari negara itu ke Malaysia.
Menurutnya, pemandu van Thailand tidak boleh membawa penumpang di negara ini dan ICP hanya dikeluarkan untuk kenderaan persendirian sahaja.
“Setakat ini, sebanyak lebih 1,000 van dari Thailand yang masuk melalui pintu masuk di empat negeri. Sejak melaksanakan Ops Tunggak Kenderaan Thailand bermula 16 Januari hingga hari ini, sebanyak 80 buah van Thailand disita atas kesalahan tiada ICP, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan pamer ICP tidak mengikut kehendak yang ditetapkan.
“Di Kota Bharu sahaja, sebanyak 13 buah van Thailand ditahan dalam operasi itu. Kenderaan itu akan disemak kesalahan lampau dan akan dilepaskan sekiranya pemandu van tersebut menyelesaikan semua saman yang tertunggak,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi, sebuah van Thailand didapati memiliki 45 saman tertunggak melibatkan kesalahan ICP dan trafik dengan jumlah saman sebanyak RM14,000. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu van Thailand tiada permit kutip RM30,000 sebulan appeared first on Kosmo Digital.