Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kesesakan lalu lintas di ibu kota dilihat semakin memburuk apabila orang ramai meluahkan rasa kecewa terperangkap berjam-jam di beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Persekutuan hari ini
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pengguna jalan raya mengeluh apabila perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa 30 minit kini boleh mencecah lebih satu jam pagi ini sehingga ada sudah terlepas waktu ‘clock in’ pukul 9 pagi tadi.
Seorang pengguna, yang dikenali sebagai Wahida berkata, dia bertolak pukul 7.30 pagi tadi dari Shah Alam menuju ke ibu kota untuk ke tempat kerja di Bangsar, masih lagi terperangkap dalam kesesakan sehingga kini.
“Jalan ke Plaza Tol Subang pun dah dekat sejam sebab kereta punya banyak, sekarang di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) pun macam tak bergerak kenderaan yang ada, tengok ‘waze’ 40 minit lagi baru sampai pejabat,” katanya dalam satu hantaran di WhatsApp.
Sementara itu, pengguna Threads, Jobenstewart menyifatkan aliran trafik di Lebih Raya Persekutuan di sini sebagai amat dasyat pada pagi ini.
“Hampir tidak bergerak. Apa yang jadi?,” soalnya.
Bagi pengguna Facebook, Ashikin Azhar, dia memaklumkan sepanjang minggu ini tempoh perjalanannya ke tempat kerja lebih sejam walaupun jarak perjalanan hanya sekitar 20 kilometer dari rumah.
“Kawasan KL ini rasa setiap minggu bertambah kenderaan. Kata ada yang wfh (kerja dari rumah), tapi menjadi-jadi sesak. Dari hari Selasa jem melampau sampai hari ini,” luahnya.
Luahan sama turut dikongsikan oleh seorang lagi pengguna, Siti Hajar, yang menyifatkan keadaan trafik di sekitar ibu kota kini semakin tidak terkawal.
“Bukan setakat Lebuh Raya Persekutuan, jalan dalam bandar pun jem teruk. Kadang-kadang bergerak beberapa meter pun ambil masa lama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Apa jadi dengan KL pagi ini? appeared first on Kosmo Digital.
