Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan iaitu memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial.
Bagaimanapun tertuduh S.Vikneswaran,21, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohammad.
Menurut kertas pertuduhan pertama, tertuduh telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1.30 petang pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota, di sini.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran jelik melampau di media sosial dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding, Pengarah Pendakwaan negeri, Shahrizat Ismail memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kes berkenaan berprofil tinggi serta menimbulkan kegusaran masyarakat.
Tertuduh melalui peguamnya, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman merayu jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan tertuduh masih belajar manakala bapanya yang berusia 59 tahun hanya bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan masih menyara isteri serta dua anak termasuk tertuduh.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan oleh seorang penjamin selain tertuduh diarahkan untuk melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading setiap awal bulan.
Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula pada 8 April depan.
Sementara itu di luar mahkamah, ketika ditanya status agama tertuduh yang katakan telah memeluk Islam seperti dakwaan sesetengah pihak, peguamnya menegaskan keluarga tertuduh juga tidak mengetahui mengenai perkara itu. – KOSMO! ONLINE
The post Penuntut UMPSA tidak mengaku bersalah pijak al-Quran appeared first on Kosmo Digital.
