Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Seekor ular tedung ditemukan dalam keadaan amat tertekan apabila reptilia tersebut menelan sebilah pisau dapur dengan muncung pisau menembusi perutnya, lapor laman berita detikjabar.
Kejadian berlaku di rumah seorang penduduk di Desa Sroyo, wilayah Jawa Tengah.
Insiden luar biasa itu ditemukan oleh sukarelawan Exalos Indonesia selepas menerima laporan kehadiran ular di rumah penduduk bernama Sigit pagi kelmarin.
Semasa sukarelawan tiba di lokasi kira-kira pukul 9.00 pagi (waktu tempatan), ular tersebut bersembunyi di dalam sebuah lubang.
Sukarelawan Exalos Indonesia, Kamto berkata, pihaknya menemukan tedung sepanjang 1 meter itu sedang bersembunyi dengan hanya ekornya yang kelihatan.
“Semasa proses mengeluarkannya menggunakan penyepit, saya mendapati ular ini sukar ditarik kerana ada objek yang tersangkut. Selepas dikeluarkan, kami terkejut melihat objek tajam yang rupanya sebilah pisau dapur menembusi perut ular,” katanya.
Pisau itu disahkan milik tuan rumah yang didapati hilang beberapa hari lalu.
Berdasarkan kedudukan mata pisau menghadap ke atas, ular itu dipercayai menelan bahagian pemegang pisau terlebih dahulu.
Walaupun pisau berjaya dikeluarkan, ular tedung itu terpaksa dibunuh bagi mengelakkannya terus menderita akibat luka parah. – AGENSI
The post Ular tedung tertelan pisau appeared first on Kosmo Digital.
