Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan lebih RM2 juta tahun ini untuk menyokong inisiatif pemerkasaan usahawan tempatan.
Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran berkata, ia bakal dilaksanakan menerusi beberapa program utama termasuk Program Insentif Usahawan UDA, UDA One Stop Retail Centre, UDA Craft Corner dan penyediaan ruang niaga di bawah Malaysia Entrepreneur Hub.
Jelasnya, inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan seramai 625 usahawan selari dengan strategi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di bawah Teras D, iaitu Perluasan Akses Pasaran dan Adaptasi Teknologi.
“Pendekatan ini dirangka secara holistik dengan lebih berstruktur dan berfasa bagi memastikan usahawan mendapat akses pasaran yang lebih luas serta laluan perkembangan perniagaan yang mampan.
“Pada masa sama, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi kementerian untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penekanan akan diberikan kepada peluasan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan serta pemantauan prestasi berasaskan data agar setiap intervensi yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan usahawan.
“Bermula tahun ini, UDA turut memperkenalkan pendekatan pembangunan usahawan secara berfasa yang merangkumi fasa pendedahan, pemantapan dan pengukuhan.
“Melalui pendekatan ini, usahawan akan diberi peluang menilai kebolehpasaran produk dalam tempoh percubaan sebelum dipertimbangkan untuk penempatan yang lebih kekal berdasarkan prestasi dan potensi pertumbuhan.
“Selain menyediakan ruang niaga fizikal, UDA turut memberi penekanan kepada aspek penjenamaan, pematuhan asas perniagaan serta akses kepada platform jualan digital bagi memperkukuh daya saing usahawan dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UDA peruntuk lebih RM2 juta perkasa usahawan appeared first on Kosmo Digital.
