Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang pempengaruh yang didakwa menceroboh rumah pelakon Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, atau lebih dikenali sebagai Anju, pada 7 Mei lalu menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Nurul Nur Ariani Muhammad Zahari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki sebuah rumah di Kampung Chelet, Nilai pada 7 Mei 2025, kira-kira pukul 5 petang.
Oleh itu, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Anif Rafih telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Suprintendan L Rathna kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Saiful kemudiannya menetapkan sebutan kes pada 22 Julai depan bagi serahan dokumen.
Pada 19 Mei lalu, wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen Seremban dan mahkamah itu kemudiannya menetapkan hari ini (19 Jun) bagi serahan fakta kes serta jatuh hukum, selain jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, seorang lagi peguam tertuduh, Amer Haiqal Mohd Yusof ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah menyatakan pada pertuduhan terdahulu, anak guamnya tidak mendapat nasihat yang betul.
“Hari ini, anak buah saya telah melantik peguam dan telah mendapat nasihat yang sepatutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pempengaruh didakwa ceroboh rumah Anju tukar pengakuan appeared first on Kosmo Digital.