Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON: Hantaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di platform Truth Social miliknya sering kali mampu menggoyang pasaran saham hanya dengan beberapa ketukan papan kekunci.
Bermula Sabtu, pedagang-pedagang pasaran saham Wall Street di New York boleh mengakses perkhidmatan itu pada harga AS$100,000 (RM408,639) sebulan. Ia adalah untuk mendapatkan akses sepantas kilat terhadap pengumuman presiden mengenai dasar ekonomi dan hal ehwal global.
Hantaran media sosial lelaki paling berkuasa di dunia itu mula dijual pada Sabtu apabila perniagaan Truth Social miliknya menawarkan maklumat awal kepada pedagang itu yang sanggup membayar harga tinggi.
Langkah tersebut sekali gus membangkitkan prospek keuntungan lumayan buat syarikat Trump di samping mencetuskan persoalan besar berhubung isu perdagangan dalaman dan penyalahgunaan jawatan awam demi keuntungan peribadi.
Saluran maklumat berprestasi tinggi seumpama itu sememangnya turut dijual oleh syarikat media sosial dan penyedia media lain.
Namun, Truth Social bukan sekadar menyampaikan berita.
Sebaliknya, ia mencipta berita yang sering kali menggoncang pasaran apabila Trump memuat naik perubahan dasar berkaitan pelbagai isu daripada peperangan, kepimpinan bank pusat sehinggalah cukai import.
“Jika ini dilakukan oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat awam, tindakan ini boleh membawa kepada hukuman penjara,” kata Ketua Syarikat Able Alpha Trading, Irene Aldridge yang tidak berhasrat untuk membeli perkhidmatan tersebut.
“Kita mempunyai seorang presiden AS yang berada di barisan hadapan bagi sebarang tindakan dan membuat semua keputusan. (Beliau) kini mendedahkan maklumat ini lebih awal kepada kumpulan terpilih,” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai kewajaran perkhidmatan baharu itu dan sama ada peguam Rumah Putih telah menyemaknya, pejabat akhbar Trump enggan mengulas dan merujuk sebarang soalan kepada syarikat induk Truth Social yang didagangkan secara awam. – AGENSI
The post Akses pengumuman Trump dijual RM408,639 sebulan appeared first on Utusan Malaysia.
