Auto Added by WPeMatico

Kami bertolak dalam pukul 11 malam dari Petaling Jaya, Selangor dan tiba di jeti Penyabong, Johor pada pukul 6 pagi.
Kelihatan di jeti, geng-geng jigging telah bergerak menuju ke bot fiber masing-masing.
Kami tidak terburu-buru kerana trip ini kami akan berada di dalam bot kayu selama tiga hari dua malam.
Sebaik tekong Pian sampai, kami terus memungah barangan ke dalam bot dan bergerak menuju ke lokasi. Sebaik melepasi kawasan kelong Acheh, tekong mengarahkan kami menurunkan set trolling untuk mencari ikan tenggiri.
Satu jam setengah menunda, hanya seekor todak yang kena, itu pun terlepas selepas meronta di permukaan air.
Tidak lama kemudian, set trolling disimpan kerana bot sudah sampai ke unjam pertama.
Di unjam, semua pemancing memasang apollo kertas saiz 10. Awak-awak pula telah menambat tali sauh di pelampung unjam.
Sebaik apollo diturunkan, kami menerima habuan ikan selar dan selayang bertubi-tubi.
Semua hasil tangkapan tadi disimpan di dalam bakul yang telah disediakan untuk dijadikan bekalan umpan sepanjang trip berlangsung.
Setelah dua jam kami puas ‘mengutip’ ikan dengan apollo, bot terus menuju ke lubuk sotong pula.
Sesi mencandat
Bot sampai ke lubuk sotong pada pukul 4.30 petang. Oleh kerana masih awal lagi, kami sempat melayan ikan kerisi berumpankan hirisan ikan selayang.
Sambil itu, ada pemancing yang sudah tidak sabar menurunkan candat dan kami memilih menggunakan candat jenama Yozuri dan Duel kerana ia dikatakan efektif di perairan ini.
Ternyata ia menjadi kerana pada petang itu sudah ada sotong yang berjaya dinaikkan.
Namun keriangan tersebut terbantut di separuh jalan, menjejak malam hari sahaja perangai sotong terus menjadi pasif.
Walaupun tekong sudah memasang lampu limpah (spotlight) untuk memanggil sotong, hanya 21 ekor diperolehi.
Pada pukul 11.30 malam, tekong terus mengajak mencari ikan pula sebab umpan sotong sudah ada.

Setelah satu jam perjalanan, kami akhirnya tiba di lubuk baharu. Jam sudah pun melepasi tengah malam, mana-mana yang masih bertahan, meneruskan sesi pancingan dan ramai yang terus melelapkan mata, menyimpan tenaga untuk esok.
Tidak banyak ikan yang kami dapat pada waktu itu kerana keadaan arus deras sehingga kami kena guna batu ladung saiz 14 hingga 16 dengan ranggung (spreader).
Hanya beberapa ekor ikan ketambak baya satu kilogram yang menghiburkan geng masih sanggup berjaga.
Hari kedua
Sebaik subuh, tekong terus menggerakkan bot menuju ke satu unjam arah tenggara dari Pulau Tioman.
Seperti biasa, apollo kertas saiz 10 dan 12 diturunkan untuk mendapatkan ikan-ikan kecil seperti selar, cencaru, kembung dan selayang, beberapa orang daripada kami dapat ikan cermin dalam saiz sekilogram seekor.
Lecehnya, kekuatan ikan spesies trevally ini bukan tentangan set pancingan apollo hingga menyebabkan tali berbelit antara kami.
Selepas mengikut arahan tekong arah mana hendak ‘melarikan’ tali, barulah kejadian berbelit dapat diminimumkan.
Pada pukul 2 petang, kami dapat juga memenuhkan tong ikan.
Tekong memberitahu, akan masuk awal ke lubuk sotong dipanggil ‘kandang sotong juara’ yang terletak berhampiran Pulau Tioman.
Pada pukul 5 petang, kami sudah pun bersauh di situ dan sejam selepas itu, sudah kelihatan ramai penduduk pulau datang dengan bot fiber masing-masing bersaiz 14 kaki dengan enjin 15 kuasa kuda.
Kami menggunakan kekili spinning saiz antara 2000 hingga 3000 dengan mainline 15lb. Set pancing kelas ini ringan dan tidak memenatkan ketika mengunjun candat.
Malam itu, bagi yang menggunakan candat dengan profil ultra violet (UV) dan pendar cahaya (glow in the dark) semestinya mendapat lebih banyak hasil sotong kerana daya tarikan tambahan pada candat mereka.
Pada pukul 11 malam, arus berubah menjadi laju sehingga batu ladung saiz 8 yang kami guna pada awal malam terpaksa ditukar ke saiz 12.
Tekong mengambil keputusan menamatkan sesi mencandat dan terus memindahkan bot menuju ke lubuk ikan.
Pagi yang hangat
Kami berpindah dua kali kerana lokasi pertama tidak menampakkan sebarang hasil. Di lubuk kedua ini, saya menggunakan umpan hirisan sotong yang baru dicandat.
Oleh kerana saya dan Shah duduk di bahagian belakang bot, maka kami menggunakan batu ladung saiz kecil supaya umpan boleh dilabuh jauh sedikit.
Tidak sampai 10 minit, satu tarikan padu berlaku sehingga joran Shah hampir ‘terbang’ masuk laut.
Joran sempat disambar dan ikan jemuduk saiz kasar itu akhirnya berjaya dinaikkan ke dalam bot.
Lokasi ini sememangnya lubuk ikan apabila kami mendapat beberapa ekor jemuduk lagi termasuk spesies ikan-ikan dasar yang lainnya.
Oleh kerana lubuk ini berpotensi, ramai antara kami berjaga sehingga hari cerah.
Tepat pukul 9 pagi, tekong mengarahkan kami untuk pulang kerana perjalanan ke jeti mengambil masa lebih kurang tiga jam lebih.
Dalam trip ini, kami bersyukur kerana di malam kedua kami dikurniakan rezeki sotong anggaran hampir 60kg keseluruhannya termasuk tambahan hasil ikan lainnya.
The post Trip buru spesies trevally di Pulau Tioman appeared first on Kosmo Digital.
