Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas yang ditemukan meninggal dunia di dalam gua berhampiran sebuah resort di Kampung Pulai di sini semalam dipercayai baru pulang daripada melawat sebuah tokong di kampung tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa, Heng Pok Seng, 72, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam gua tersebut sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur bersama kakak dan seorang rakannya sebelum singgah di Kampung Pulai untuk melawat sebuah tokong.
Katanya, mereka kemudian mendaftar masuk di sebuah rumah penginapan kira-kira pukul 8 malam sebelum mangsa bersama rakannya berjalan ke sebuah gua yang terletak di kawasan berhampiran.
“Mangsa bertindak memasuki gua itu seorang diri manakala rakannya menunggu di luar. Selepas kira-kira 30 minit, rakannya mula berasa bimbang apabila mangsa tidak keluar lalu masuk ke dalam gua untuk mencarinya, namun gagal.
“Rakannya kemudian menghubungi pemilik resort sebelum mereka bersama-sama menjalankan pencarian dan menemukan mangsa di dalam satu ruang sempit di dalam gua berkenaan dalam keadaan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya.
Choon Foo memberitahu, pemilik resort menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang bagi mendapatkan bantuan mengeluarkan mangsa.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE
The post [KEMASKINI] Warga emas maut dalam gua selepas melawat tokong appeared first on Kosmo Digital.
