Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan berkaitan mengisytiharkan harta.
Hakim K.Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Na’imah yang juga balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menolak permohonannya.
Hakim Muniandy ketika membaca penghakimannya berkata, permohonan semakan Na’imah, 68, bukan sesuatu yang remeh sebaliknya mengandungi persoalan penting yang perlu diperhalusi oleh mahkamah.
Beliau berkata, ia juga bukan penyalahgunaan proses mahkamah, tetapi cabaran yang penting dalam perundangan dengan mengguna pakai prinsip undang-undang terkini.
“Isu perlembagaan yang dibangkitkan memerlukan campur tangan dan diperhalusi oleh Mahkamah Persekutuan,” kata Hakim Muniandy.
Semasa prosiding, Nai’imah diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala pendakwaan dalam kes itu selaku responden, diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.
Pada 23 Januari tahun lalu, Na’imah, didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
Selepas didakwa pada Februari tahun sama Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post Na’imah berjaya rujuk persoalan undang-undang pertuduhan dihadapi appeared first on Kosmo Digital.