Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Lelaki warga Nepal yang disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan kejam dua beranak di kediaman sewa mereka di Kampung Sekolah Juru di sini, 18 Oktober lalu akan dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian berlaku dan sudahpun dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan pendakwaan.
“Siasatan sudah selesai dan sedang menunggu arahan selanjutnya. Suspek terlibat akan didakwa dalam tempoh terdekat, minggu depan.
“Setakat ini, motif utama kejadian menjurus kepada dendam dan cemburu antara suspek utama dan mangsa wanita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan suspek utama warga Nepal yang disyaki kenalan mangsa berusia 51 tahun itu disambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua lagi suspek iaitu abang suspek utama berusia 40 tahun serta rakannya berumur 28 tahun turut disambung reman.
Dalam kejadian pada 18 Oktober lalu, seorang ibu bersama anak angkatnya ditemukan maut dalam keadaan tragis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 7.30 malam.
Mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan di dapur manakala kanak-kanak berkenaan di tingkat atas.
Suspek utama yang dipercayai kenalan mangsa ditahan di pejabat imigresen ketika cuba melarikan diri ke luar negara, manakala dua lagi diberkas di Bukit Tengah. -KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak dibunuh: Suspek akan dituduh dalam masa terdekat – Polis appeared first on Kosmo Digital.