Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Macam mana kita ni Aim?”. Itulah soalan yang masih terngiang-ngiang dalam ingatan anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin apabila mengenang detik akhir perbualan mereka sebelum pemimpin itu menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember lalu.
Menerusi satu coretan menyentuh hati yang dikongsi di Facebook, Naim Kurniawan Moktar berkata, soalan tersebut tidak pernah diluahkan kepadanya sebelum ini.
“Soalan itu tidak pernah terluah sebelum ini. Seolah-olah segala usaha yang telah dibuatnya hanya seakan sia-sia, tidak dihargai, malah dipandang rendah.
“Endatau di… nantilah Naim yang fikir. Dadi rehatlah dulu. Sama berubat’. Jawapan seakan yakin, namun di dalam fikiran sudah terlalu kusut, buntu mencari jawapan. Takut kalau dipanjangkan kesihatannya semakin parah,” tulisnya.
Naim berkata, dirinya tidak menyangka perbualan itu adalah yang terakhir sebelum Allahyarham dibawa ke hospital keesokan paginya.
Naim turut berkongsi suasana pilu di wad hospital apabila dia berdiri di sisi katil pada malam terakhir sebelum pemergian arwah.
“Ku tanya ‘Dadi ok juga dadi?’ Ku sangka jawapannya perlahan yang tidak kedengaran. Ku dekatkan lagi telinga dan ulang soalan yang sama… namun tiada suarapun yang keluar. Hanya bibir yang tidak berhenti bergerak, melafaz zikir yang menemaninya menuju lena yang abadi,” katanya.
Detik itu, katanya, mengajarnya bahawa tidak semua persoalan dalam hidup akan diberikan jawapan di dunia.
“Rupanya telah disusun oleh Sang Pencipta, tidak semua masalah perlu ada jawapan. Kadangkala Dia susun sesuatu untuk dinoktahkan,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan serta Pengerusi Barisan Nasional Sabah, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi Jumaat lalu selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan serius pada paru-paru.
Selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu selepas solat Jumaat, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas dan selamat dikebumikan sekitar pukul 2.25 petang hari yang sama.
Allahyarham meninggalkan dua isteri serta tujuh orang anak. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Macam mana kita ni Aim’, soalan terakhir Bung Moktar tanya anak appeared first on Kosmo Digital.