Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Polis Johor sudah mendapat ‘lampu hijau’ untuk menuduh bapa kepada mendiang A. Tishant, 6, yang ditemui mati ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, bulan lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pertuduhan itu hanya dibuat mengikut pertuduhan mencederakan isteri dan laporan polis suspek yang mendakwa anaknya hilang.
Katanya, lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru selepas siasatan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selesai.
“Di Johor, siasatan terhadap suspek dibuat hanya membabitkan Seksyen 323/324 Kanun Keseksaan; Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana didakwa mencederakan isterinya selain Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kita sudah mendapat arahan tuduh suspek dan ia akan dilakukan selepas mendapat keputusan (selesai siasatan) kes 302 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurut Kumar, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat isteri suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada 22 Julai lalu yang mendakwa dia telah dipukul lelaki itu.
Katanya, dalam laporan polis yang sama, isteri suspek turut menjelaskan bahawa suaminya telah melarikan anak tunggal mereka itu. – KOSMO! ONLINE
The post Polis Johor dapat ‘lampu hijau’ tuduh suspek bunuh Tishant appeared first on Kosmo Digital.