Auto Added by WPeMatico

JITRA – Sepasang suami isteri yang dilaporkan hilang bersama anak mereka sejak 20 Julai lalu direman bagi membantu siasatan kes penipuan wang permainan kutu.
Lelaki dan wanita berusia 39 serta 36 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Pasangan suami isteri terbabit sebelum itu tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 1.50 pagi tadi.
Kosmo! kelmarin melaporkan polis sedang mengesan tiga sekeluarga dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam selepas dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu.

Laporan kehilangan pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun dibuat oleh bapa kepada wanita itu yang berusia 62 tahun.
Ahli keluarga memaklumkan kali terakhir mereka dapat menghubungi ketiga-tiga individu berkenaan adalah pada 20 Julai sebelum mereka gagal dihubungi.
Siasatan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan tersebut mendapati tiga beranak itu pulang ke rumah dengan sebuah kenderaan pada pukul 1.12 pagi Isnin lalu sebelum keluar semula kira-kira sejam lapan minit kemudian.
Dalam perkembangan sama, polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu susulan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000. – KOSMO! ONLINE
The post Pasangan suami isteri direman bantu siasatan kes tipu duit kutu appeared first on Kosmo Digital.
