Auto Added by WPeMatico

KLANG – ” Anak siapa jatuh ini.”
Itu jeritan dilaungkan penduduk Flat Sri Perantau apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui tertiarap dengan kesan darah di bahagian kepala selepas terjatuh dari rumahnya di tingkat 8, hari ini.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira 7.45 pagi dengan mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Difahamkan, mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik. Ibu mangsa pula merupakan seorang guru pelatih sebuah sekolah rendah manakala bapanya bekerja di sebuah pelabuhan di sini.
Seorang jiran mangsa enggan dikenali berusia 40 tahun, memaklumkan semasa kejadian dia sedang berada di bahagian dapur.
Katanya, dia kemudiannya mendengar bunyi yang kuat jatuh dari flat berkenaan.

“Saya ingat orang buang sampah. Namun, tiba-tiba ada yang menjerit anak siapa jatuh ini.
“Sejurus itu, saya pun turun melihat ramai penduduk telah berkumpul dengan mangsa didapati dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum dibawa ambulans,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, abang angkat mangsa yang berusia 12 tahun memaklumkan kali terakhir bertemu dengan mangsa adalah semalam.
Ujarnya, mangsa telah menjadi anak asuhan ibunya sejak daripada bayi lagi.
“Seminggu ini, adik (mangsa) dilihat sangat manja dan sering memeluk ibu saya.
“Sepatutnya malam ini, ayah saya merancang membawanya bersama bermain badminton. Malah, kami sekeluarga juga merancang untuk mengadakan parti hari jadinya pada Oktober ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan,Superintendan KamalAriffin Aman Shah mengesahkan kejadian itu dengan mangsa disahkan meninggal di Zon Merah HTAR.
“Kenyataan penuh media akan saya keluarkan nanti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Budak lelaki 4 tahun maut jatuh tingkat 8 appeared first on Kosmo Digital.