Auto Added by WPeMatico
Ceroboh kawasan larangan bawah jambatan: Tiga termasuk wanita ditahan

![]()
GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menahan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita selepas mereka dipercayai menceroboh kawasan larangan iaitu di bahagian struktur Jambatan Pulau Pinang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, penahanan itu dibuat kira-kira pukul 1.30 tengah hari semasa rondaan rutin dijalankan oleh pasukan bot ronda milik agensi berkenaan di sekitar kawasan perairan di negeri ini.
“Kesemua suspek yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
“Mereka kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Muhammad Suffi berkata, kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki kawasan larangan tersebut tanpa kebenaran bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang selain memastikan keselamatan awam serta pemeliharaan infrastruktur kritikal negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.-UTUSAN
The post Ceroboh kawasan larangan bawah jambatan: Tiga termasuk wanita ditahan appeared first on Utusan Malaysia.
