Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mayatnya dibuang di hutan dekat Gunung Raya, Langkawi, Kedah dalam kejadian enam tahun lalu, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramlan Abdul Rashid, 44, selepas mendapati tertuduh bersalah membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah di antara pukul 9 pagi dan 10 pagi pada 23 Februari 2019.
Berdasarkan penghakiman bertulis bertarikh semalam yang diperolehi pihak media menerusi laman web mahkamah hari ini, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan di mahkamah melimpah ruah jelas menunjukkan tindakan sengaja tertuduh terhadap kanak-kanak itu sehingga membawa maut.
“Walaupun pakar patologi forensik tidak dapat menentukan punca kematian mangsa kerana hanya tengkorak dan dua batang gigi yang ditemui, bukti keadaan yang dikemukakan di mahkamah adalah kukuh dan jelas menunjukkan tertuduh orang terakhir bersama mangsa sebelum ditemui meninggal dunia
“Mahkamah mendapati tertuduh bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak itu termasuk sejarah penderaan fizikal menjadi orang terakhir dilihat bersamanya, membawa polis ke tempat penemuan mayat, membohongi ibunya tentang keberadaan mangsa dan melarikan diri dari Langkawi selepas laporan polis dibuat,” ujar beliau.
Pada masa sama, mahkamah turut meneliti keseluruhan fakta kes terutamanya mangsa merupakan seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa yang diletakkan dalam jagaan tertuduh selain kematian mangsa akibat kecederaan kerana dipukul dan didera oleh tertuduh secara berpanjangan.
“Tertuduh juga tidak mempunyai perikemanusaiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama,” ujar penghakiman itu lagi.
Mengikut neratif pendakwaan, pada bulan November 2018, ibu mangsa (pengadu kes) bersama anak perempuannya (mangsa) mengikut tertuduh ke rumahnya di kuaters berkenaan dan menetap di situ selama kira-kira dua bulan dan bekerja di sebuah kedai makan.
Menurut keterangan kes, ibu mangsa yang berulang alik ke tempat kerja meninggalkan Nur Aisyah dalam jagaan tertuduh selama dua bulan.
Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemukan anak perempuannya ketika melawat rumah tertuduh pada Februari 2019. Tertuduh memberi alasan mangsa telah diserahkan kepada orang lain untuk dijaga namun enggan memberitahu siapa atau dimana anaknya menetap.
Ketika soal siasat polis, tertuduh telah membawa pegawai dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya, di mana mereka menemukan tengkorak kanak-kanak itu dan dua gigi kecil.
Pakar forensik tidak dapat menentukan punca kematian yang tepat kerana keadaan mayat, tetapi keterangan saksi membantu menentukan keadaan.
Isteri tertuduh yang merupakan seorang jururawat, memberi keterangan bahawa dia mendengar kanak-kanak itu menangis pada malam 23 Februari, namun tangisan itu berhenti secara tiba-tiba tidak lama kemudian.
Apabila dia masuk ke dalam bilik, dia mendapati mangsa terbaring dalam keadaan bogel dan tidak bergerak di atas tikar dengan tangan kakinya kaku.
Dia juga menyedari kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan melecur rokok pada paha kanak-kanak itu dan lebam pada kedua-dua kakinya.
Isteri tertuduh juga menggambarkan keadaan mangsa seperti tidak bernyawa, dan apabila ditanya kepada suaminya apa yang berlaku, lelaki itu mendakwa kanak-kanak itu mengalami sawan.
Di mahkamah, tertuduh mendakwa bahawa kanak-kanak itu sakit dan kematiannya berpunca daripada demam serta kesan sampingan ubat tahan muntah. – KOSMO! ONLINE
The post Penganggur bunuh Nur Aisyah dihukum mati appeared first on Kosmo Digital.