Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang wanita bersama tiga anaknya nyaris maut selepas sebuah motosikal yang dinaiki mereka digilis sebuah kereta dalam kejadian di kawasan jalan utama Kampung Pintu Geng di sini pada Khamis lalu.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an cedera parah selepas terperosok di bawah kereta jenis Perodua Kelisa manakala dua anaknya mengalami patah pada beberapa anggota badan.
Saksi kejadian, Mohd. Hakim Jaafar, 20, berkata, dia ketika itu sedang menjual air kelapa berhampiran lokasi kemalangan melihat sebuah motosikal yang dinaiki seorang wanita bersama tiga anaknya dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dari arah belakang.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut jatuh sebelum wanita dan dua lagi anaknya digilis kereta tersebut manakala seorang lagi anak tercampak ke tepi jalan.
“Melihat keadaan itu, saya terus berlari ke arah kereta tersebut untuk memberi bantuan. Saya nampak wanita itu terperosok di bawah kereta bersama dua anaknya, namun hanya dia sahaja yang cedera parah.
“Saya dan orang ramai yang ada di kawasan itu terus mengangkat kereta tersebut selepas pemandunya yang merupakan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an keluar dari kereta. Pemandu kereta itu juga menjerit-jerit meminta pertolongan daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Hakim memberitahu, difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah manakala dua lagi anaknya patah tangan dan cedera pada beberapa bahagian anggota badan.
Menurutnya, keempat-empat beranak itu dibawa ke hospital dengan ambulans selepas diselamatkan oleh orang ramai.
“Berdasarkan maklumat di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dikatakan tidak menyedari motosikal tersebut yang berada di depannya kerana keadaan jalan ketika itu sesak.
“Pemandu kereta juga terkejut selepas melanggar belakang motosikal tersebut dan dipercayai tertekan padel minyak sebelum menggilis motosikal dinaiki empat beranak itu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
The post Ibu, tiga anak cedera digilis Perodua Kelisa appeared first on Kosmo Digital.
