Auto Added by WPeMatico

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) tidak menolak kemungkinan terdapat warga asing cuba masuk ke negara ini menerusi pintu sempadan ini susulan penguatkuasaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya sentiasa bersedia dengan kemungkinan itu dengan menolak kemasukan warga asing yang disyaki bukan pelancong tulen.
Katanya, ia dilakukan menerusi pemeriksaan teliti oleh agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Pada semalam, AKPS melalui anggota penguatkuasaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam mengeluarkan 21 Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap warga asing yang disyaki bukan pelancong tulen mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka terdiri daripada empat lelaki China, dua lelaki dan 13 wanita Thailand serta masing-masing seorang lelaki India dan Pakistan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks ICQS di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua mereka diarah berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama.
“Tiada sebarang rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti dalam kes tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, antara faktor biasa NPM dikeluarkan adalah dokumen perjalanan tidak sah iaitu pasport tamat tempoh, rosak atau palsu dan tiada visa atau permit sah untuk negara yang memerlukan visa sebelum masuk.
“Faktor lain adalah nama dalam senarai sekatan; risiko keselamatan atau jenayah; gagal buktikan tujuan lawatan serta pelanggaran undang-undang imigresen sebelum ini seperti kerja tanpa permit dan tinggal lebih masa.
“Terdapat juga perkara mencurigakan seperti kekerapan masuk ke negara ini dalam tempoh singkat, menjawab soalan secara ragu-ragu, hanya memiliki wang berjumlah RM50 untuk melancong ke Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, pegawai imigresen akan membawa individu terlibat ke kaunter khas untuk mengisi borang NPM sebelum diberikan kepada mereka serta syarikat pengangkutan atau penerbangan untuk dihantar pulang. – KOSMO! ONLINE
The post Operasi rapi AKPS ‘kantoikan’ pelancong tidak tulen appeared first on Kosmo Digital.