Auto Added by WPeMatico

BESUT – Keluarga Nor Ayuni Maslan, 21, yang merupakan antara 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban sedia memaafkan pemandu bas persiaran yang terlibat dalam nahas ngeri pada Isnin lalu.
Abang keenam mangsa, Ahmad Azizul Maslan, 26, berkata, kemaafan tersebut demi ketenangan anak bongsunya yang kini sudah berada ke alam barzakh.
“Kami sekeluarga memilih untuk tidak memanjangkan dan bersedia menerima permohonan maaf pemandu bas itu.
“Apapun sekiranya siasatan lanjut nanti mendapati dia (pemandu bas) bersalah daripada segi undang-undang, biarpun pihak berkuasa menentukan hukumannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut di sini hari ini.
Terdahulu dia sekeluarga ditemui selepas disantuni Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Kosmo! hari ini melaporkan pemandu bas berusia 39 tahun memohon maaf kepada keluarga 42 pelajar UPSI yang terlibat dalam nahas di Jalan Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik tersebut.
Dia mendakwa kemalangan berpunca daripada kegagalan brek bas persiaran terbabit yang dalam perjalanan menghantar pelajar tersebut ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.
Dalam pada itu, Ahmad Azizul berkata, mereka sekeluarga sempat mengadakan sambutan ulang kelahiran Nor Ayuni ke-21 sebelum menghantar adik bongsunya menaiki bas di pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh, Besut.
Dia berkata, Nor Ayuni yang merupakan pelajar tahun pertama Sarjana Muda Sains Pertanian (Perkembangan Pertanian dengan Pendidikan) amat terkejut dan terharu dengan sambutan ulang tahun kelahiran mengejut tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Keluarga Nor Ayuni tiada berdendam dengan pemandu bas appeared first on Kosmo Digital.