Auto Added by WPeMatico

FLORA dan fauna merupakan sebahagian daripada kehidupan di muka bumi ini yang turut memainkan peranan penting untuk kesejahteraan kehidupan sejagat. Beredarnya masa, kebanyakan pokok hidup dan mati silih berganti.
Pun begitu, ada beberapa pokok yang masih hidup sehingga kini dengan usia melebihi 5,000 tahun. Sekali gus, pokok-pokok ini menjadi saksi bisu kepada setiap peristiwa yang berlaku di dunia ini. Demi memastikan pokok-pokok ini terpelihara, ada pihak berwajib mengambil langkah merahsiakan lokasi pokok tersebut, namun ada juga pihak yang berlapang dada membuka ‘pintu’ kepada pengunjung untuk melawat pokok bersejarah itu.
CitaRasa minggu ini kongsikan lima pokok tertua di dunia seperti dilaporkan Livescience.
1- Alerce Milenario (5,848 tahun)
MENDUDUKI tangga pertama ialah Alerce Milenario atau dikenali sebagai Gran Abuelo. Pokok ini hidup di Taman Negara Alerce Costero, Chile. Ia menjadi tajuk utama pada tahun 2022 apabila penyelidik menggunakan pemodelan komputer untuk menganggarkan umurnya dan dapati usia pokok itu sekitar 5,484 tahun.
Meskipun dinobatkan pokok tertua di dunia, lokasi Alerce Milenario tidak dirahsiakan dan ramai orang awam mengunjunginya.
Saintis, Jonathan Barichivich yang mengetuai penyelidikan itu berharap publisiti diraih akan mendorong lebih banyak usaha melindunginya.
2- Methuselah (lebih 4,600 tahun)

SEJAK tahun 1957, pine bristlecone ini telah memegang gelaran pokok tertua yang masih hidup di dunia sebelum usia Alerce diketahui. Pokok bernama Methuselah ini ditemui oleh penyelidik pokok terkenal iaitu Edmund Schulman yang juga merupakan seorang saintis di Makmal Penyelidikan Cincin Pokok di Universiti Arizona, Amerika Syarikat (AS). Untuk melindungi Methuselah daripada pelancong yang mungkin merosakkan pokok itu dengan menyentuhnya atau berjalan berhampiran akarnya, pokok ini dilarang dikunjungi.
Pokok itu berada di suatu tempat di sepanjang 7.2 kilometer Methuselah Trail di White Mountains, Taman Negara California.
3- Sarv-e Abarkuh (lebih 4,000 tahun)
SETERUSNYA, di tangga ketiga adalah Sarv-e Abarkuh atau Cypress of Abarqu iaitu pokok cyprus purba (Cupressus sempervirens) yang terletak di bandar Abarkuh di Iran dan dianggarkan berusia lebih 4,000 tahun.
Ini mungkin menjadikannya sebagai pokok tertua di Asia. Cyprus ialah spesies pokok yang terkenal dalam sejarah dan budaya Iran. Ia muncul dalam puisi dan ukiran di Persepolis, ibu kota Empayar Achaemenid purba.
4- LK 227 bald cypress (2,624 tahun)
PADA tahun 2019, penyelidik mengumumkan penemuan bald cypress berusia 2,624 tahun (Taxodium distichum).
Pokok yang tidak dinamakan ini adalah pokok hidup tertua di timur Amerika Utara. Ia terletak di suatu tempat di sepanjang Sungai Black Carolina Utara, anak sungai Cape Fear River, AS.
Seperti kebanyakan pokok tua yang lain, lokasi tepatnya tidak didedahkan kepada orang awam.
Penyelidik juga menemui pokok lain yang berusia lebih 2,000 tahun
di kawasan yang sama.
5- Qilian juniper (2,230 tahun)
POKOK qilian juniper (Juniperus Przewalskii) di Delingha, wilayah Qinghai, China merupakan pokok tertua yang berada di kedudukan kelima dalam senarai ini.
Pada tahun 2019, penyelidik mengenal pasti pokok ini yang tertua di negara itu dengan usia sekitar 2,230 tahun.
Qilian juniper merupakan salah satu daripada 98 pokok yang didokumenkan yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di negara Tembok Besar itu.
Pokok tertua di China cenderung ditemui di kawasan pergunungan terpencil yang mana ia mungkin terlindung daripada ancaman seperti pembalakan dan kebakaran hutan.
The post 5 pokok tertua di dunia appeared first on Kosmo Digital.