Auto Added by WPeMatico

![]()
GUA MUSANG – Seorang ibu tunggal maut selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam Sungai Betis ketika menjalankan aktiviti pendakian di kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah dan Gunung Biyed di Pos Balar di sini kelmarin.
Kejadian dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 3.21 petang kelmarin selepas mangsa yang berusia 56 tahun dipercayai hilang sejak malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa merupakan sebahagian daripada seramai 11 orang kumpulan pendaki yang memulakan ekspedisi mendaki gunung pada 1 Mei lalu.
Katanya, ketika melalui kawasan Sungai Betis kira-kira pukul 7.30 malam pada 2 Mei lalu, mangsa dipercayai telah tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Usaha pencarian segera telah dilakukan oleh ahli kumpulan, namun mangsa gagal ditemui pada malam kejadian.
“Mangsa kemudian ditemukan kira-kira pukul 8 pagi kelmarin sekitar 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia,” katanya.
Choon Foo berkata, mangsa merupakan seorang ibu tunggal dan berasal dari Kuala Lumpur.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian.
“Operasi tersebut berdepan cabaran besar apabila pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki hampir 10 jam ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu tunggal maut tergelincir ke dalam sungai ketika daki gunung appeared first on Kosmo Digital.
