Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Pelajar sekolah di negeri ini tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan dalam talian sehingga ada yang membayar ratusan ribu ringgit menggunakan kad debit ibu bapa dan barang kemas keluarga.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halim berkata, sepanjang 1 Januari sehingga 15 Disember lalu, jumlah kerugian keseluruhan akibat penipuan dalam talian di Melaka kini mencecah RM65.9 juta.
Ujarnya, sebanyak 1,976 kes direkodkan dengan 1,229 tangkapan telah dibuat dan 740 pertuduhan berjaya difailkan, namun bilangan kes masih menunjukkan trend peningkatan.
“Ada juga pelajar yang terpedaya sehingga sanggup menggunakan kad debit ibu bapa mereka serta barang kemas keluarga melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
“Namun, jumlah kerugian ini dilihat semakin meningkat apabila mangsa kini terdiri daripada golongan berpendidikan dan berpendapatan tinggi serta profesional seperti doktor, peguam, pegawai bank, penjawat awam serta guru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan barangan persiapan sekolah sumbangan SWM Environment kepada 50 pelajar Sekolah Kebangsaan Duyong di sini, hari ini.
Tambahnya, modus operandi sindiket biasanya bermula dengan bayaran kecil RM10 atau RM100, kemudian mangsa diprovokasi membayar ribuan ringgit bagi ‘menyelamatkan’ pelaburan mereka.
“Apabila terdesak, mereka ditawarkan pinjaman dalam talian atau khidmat peguam palsu sehingga terjerat dalam rantaian penipuan yang berpanjangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Noor Helmy menyambut baik keperluan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan lapan juta pengguna ke atas di Malaysia untuk berdaftar sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) bermula 1 Januari depan.
Beliau menegaskan, langkah itu bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi bagi mengekang penipuan, berita palsu dan kandungan fitnah yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat.- KOSMO! ONLINE
The post Kerugian ‘scam’ cecah RM65.9 juta, barang kemas keluarga tergadai appeared first on Kosmo Digital.