Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Bekalan air terawat kepada pengguna di Melaka disahkan selamat hasil pemantauan kualiti air yang dilaksanakan selepas penemuan rangka disyaki manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, di sini, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh berkata, air yang disalurkan kepada pengguna adalah air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan.
Katanya, setakat pemantauan yang dijalankan, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan.
“Berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna adalah dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai ekoran kawasan penemuan tersebut merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri Melaka.
Susulan itu beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan terbabit, termasuk melaksanakan persampelan serta ujian diperlukan.
“Penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab empangan tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.
“Sebarang kesimpulan berkaitan perkara tersebut hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, persampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa,” katanya.
Ujarnya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.
Terdahulu, semalam Kosmo! melaporkan aktiviti tiga lelaki memancing di kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal bertukar gempar selepas mereka menemukan sebuah tong dram bersimen mengandungi rangka dipercayai manusia.
Tong berkenaan ditemukan kira-kira pukul 11.40 pagi sebelum pemeriksaan polis bersama pasukan forensik mendapati terdapat rangka termasuk tengkorak di dalamnya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong berkenaan ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan utama dan dipercayai telah berada di lokasi itu sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan rangka.
Rangka berkenaan kemudian dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.- KOSMO! ONLINE
The post Rangka dalam tong simen: Bekalan air terawat Melaka kekal selamat appeared first on Kosmo Online.
