Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Pengeluar bateri terkemuka dari China, Hunan Yuneng New Energy Battery Material Co., Ltd. (Hunan Yuneng) bakal menubuhkan kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara, bertempat di Negeri Sembilan.
Syarikat itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Invest Negeri Sembilan dan SPD Tech Valley Sdn. Bhd. semalam, menandakan peristiwa penting dalam pertumbuhan sektor tenaga bersih negara.
Kemudahan pembuatan tercanggih di Malaysia itu bertujuan terutamanya untuk menghasilkan bahan bateri litium dan mewakili kehadiran sulung syarikat di Malaysia yang dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hunan Yuneng, Liang Kai berkata, Malaysia telah berjaya menarik kelompok perusahaan China yang semakin berkembang untuk mewujudkan operasi merentasi seluruh industri bateri tenaga baharu.
“Kemudahan di Malaysia akan berfungsi sebagai papan anjal strategik buat syarikat berkembang ke seluruh Asia Tenggara.
“Kehadiran kami akan mengukuhkan ekosistem bateri tenaga baharu Malaysia, meningkatkan kedudukannya sebagai hab industri yang komprehensif di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada suku tahun pertama 2025, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM89.8 bilion, dengan RM30.5 bilion daripadanya melibatkan sektor pembuatan.
Subsektor kimia dan produk kimia terutamanya menarik sejumlah RM4.2 bilion, menduduki tempat ketiga dalam kalangan penyumbang pelaburan pembuatan, memperlihatkan trend keyakinan pelabur terhadap kepelbagaian industri di negara ini. – KOSMO! ONLINE
The post Hunan Yuneng pilih Malaysia sebagai lokasi hab pembuatan bateri appeared first on Kosmo Digital.