Auto Added by WPeMatico

LUMUT – Kira-kira 40 orang peserta program Teluk Senangin Open Water Swim 2025 anjuran AMMJB Swimmers Enterprise disengat ubur-ubur ketika berenang di pantai tersebut, pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, semua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan manakala dua peserta kanak-kanak berusia 9 dan 10 tahun dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan lanjut.
“Program bermula pada pukul 8 pagi dengan pelepasan kategori 9 hingga 10 tahun.
“Pada pukul 8.15 pagi, antara 30 hingga 40 orang peserta menuju ke pusat rawatan untuk menerima rawatan akibat terkena sengatan ubur-ubur. Dua peserta telah dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke HSM untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap penganjur program tersebut berkata, sengatan ubur-ubur merupakan antara cabaran berenang di laut lepas apatah lagi di perairan tropika seperti di negeri ini dan cabaran itu merupakan suatu yang diketahui ramai.
Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur peka dengan situasi tersebut dan telah memberikan bantuan kepada mangsa sengatan pagi tadi.
“Acara di laut lepas sentiasa hadir dengan pendedahan kepada hidupan laut. Kami komited dengan aspek keselamatan dan akan terus bekerja rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau situasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 40 peserta acara renang disengat ubur-ubur di Pantai Teluk Senangin appeared first on Kosmo Digital.