Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LANGAT – Kelicikan sindiket menjadikan kawasan parkir lori di Telok Panglima Garang di sini, sebagai ‘port’ penyimpanan dan pengangkutan arak seludup terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan pukul 6.30 petang itu dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang bertindak sebagai penjaga lokasi itu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan minuman keras yang disimpan di lokasi berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut mendapati terdapat lima buah lori di parkir.
“Namun, hanya dua buah lori didapati mengandungi pelbagai jenis minuman keras di ruang kargo belakang.
“Nilai keseluruhan rampasan yang melibatkan minuman keras disyaki tidak bercukai serta dua buah lori dianggarkan berjumlah RM316,205.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kawasan parkir berkenaan dipercayai telah dijadikan lokasi operasi sindiket sejak kira-kira setahun lalu.
Jelas Jaffri, kesemua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976. – KOSMO! ONLINE
The post Parkir lori jadi sarang arak seludup appeared first on Kosmo Digital.
