Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Penyanyi merangkap penganjur konsert, Sufi Rashid mengakui terkesan dengan kontroversi membabitkan video muzik terbaharu Dolla, lebih-lebih lagi ketika pihaknya dalam fasa menyiapkan Konsert Dolla: Good Girls Gone Bad, Live In Concert yang dijadual berlangsung Disember ini.
Ujar Sufi nama sebenarnya Muhammad Sufi Rashid, 34, seni muzik sentiasa luas, namun tetap menuntut pertimbangan mengikut konteks masyarakat tempatan yang majoritinya Melayu Islam.
“Seni muzik memang sejagat, tapi sebagai pemuzik atau artis, kita tetap perlu peka pada keadaan semasa dan sensitiviti masyarakat.
“Contohnya, kalau nak berpakaian seksi, bukan soal boleh atau tidak. Kena tengok tempat, medium dan sasaran penonton.
“Untuk MV tu, saya rasa agak seksi. Peminat Dolla pula ramai remaja dan kanak-kanak, jadi saya faham kalau ada yang tersinggung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Walaupun isu tersebut hanya beri kesan kecil terhadap persiapan konsert, pelantun Aku Sanggup itu menolak dakwaan kononnya kontroversi itu sengaja dicipta sebagai gimik.
“Ramai tanya sama ada kami terlibat dalam perancangan MV tu. Jawapan saya tidak. Semua itu kerja pengurusan mereka. Kami cuma promoter.
“Kalau gimik, saya dah cakap awal-awal. Saya sendiri terkejut bila dapat mesej tentang video itu malam sebelumnya. Bila hal agama timbul, saya tahu kami akan ditanya dulu, bukan sahaja wartawan, bahkan juga peminat,” luahnya yang mewakili SAH Entertainment yang bertanggungjawab terhadap penganjuran konsert Dolla kelak.
Paling penting kata Sufi, pihaknya memilih untuk merendahkan suara buat sementara waktu sementara Universal Music (UM)menguruskan situasi berkenaan.
Dia juga memberi jaminan pihaknya akan lebih ketat dalam menjaga sensitiviti persembahan pada konsert itu nanti.
“Saya ambil pendekatan diam dulu sebab kita serahkan pada UM untuk tentukan langkah seterusnya. Benda ini bukan salah kami, jadi biar mereka susun tindakan susulan
“Sudah tentu kami akan ingatkan mereka. Bukan saja soal pakaian, malah keseluruhan konsep pentas. Saya memang sensitif bab agama.
“Kalau ada unsur atau Dolla akan mencolok mata, kami tapis terus. Sebagai promoter, kami ada hak untuk memastikan semua patuh garis panduan,” ujarnya.
Terdahulu, MV terbaharu Dolla dikritik pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun yang menegur penampilan seksi kumpulan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd. Na’im Mokhtar turut memaklumkan pihaknya meneliti tindakan syariah berkaitan isu tersebut serta menyemak semula garis panduan pemakaian selebriti Islam.
Universal Music Malaysia kemudian menarik turun video muzik terbabit daripada YouTube selepas memahami kebimbangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Kalau Dolla mencolok mata, kami tapis, promoter ada hak’ appeared first on Kosmo Digital.