Auto Added by WPeMatico

KLANG – Pengusaha dan peniaga rokok elektronik (Vape) diarahkan menurunkan papan tanda dan iklan secara sukarela sebelum tindakan tegas diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, notis berkaitannya termasuk papan iklan digital (LED) akan dikeluarkan kepada mereka dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan drastik sekiranya ia gagal dipatuhi termasuk saman.
“Kedai vape di negeri ini memang ratusan jumlahnya terutama di bandar-bandar. Di kawasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sahaja jumlahnya ada 45 peniaga.
“Kalau mereka gagal patuhi notis pada tarikh dan masa telah ditetapkan, PBT akan turunkan dengan segala kos bagi penurunan papan tanda atau iklan itu akan dibayar mereka kepada PBT selain saman,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke MBDK di sini, hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan semua PBT Selangor diarahkan merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan vape di negeri ini.
Keputusan dicapai hasil mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan vape yang
dipengerusikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta pegawai -pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).- KOSMO! ONLINE
The post Turun papan tanda vape sukarela atau bayar kosnya nanti – Suee Lim appeared first on Kosmo Digital.