Auto Added by WPeMatico
Orang ramai kerumun kubur Zara Qairina
SIPITANG – Ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung antara yang hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol petang ini.
Turut kelihatan anggota polis yang berkawal bagi memastikan proses penggalian kubur arwah berjalan lancar serta pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi memantau proses penggalian semula kubur arwah.
Proses penggalian kubur itu disaksikan oleh Majistret, dua Pendakwa Raya, ibu Zara Qairina, peguam, Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Penggalian semula kubur arwah Zara Qairina dilakukan sejurus mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa dari Mahkamah Majistret Sipitang dan selepas selesai prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar tengah hari tadi.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak polis menggali semula kubur Allahyarhamah selepas meneliti laporan penuh siasatan kematian Zara Qairina yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Papar, Sabah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di HQE pada 17 Julai kira-kira pukul 11 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Orang ramai kerumun kubur Zara Qairina appeared first on Kosmo Digital.