Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai ketua pemandu lori sindiket penyelewengan diesel subsidi dikatakan mempelajari taktik berkenaan daripada bapanya.
Suspek berusia 30an itu telah terlibat dalam aktiviti penyelewengan berkenaan sejak enam bulan lalu.
Bapanya pula dikatakan pernah dikenakan hukuman mahkamah sebanyak dua kali sebelum ini.
Jelas lelaki dikenali Rav, 30an, dia mendapat upah lebih daripada RM200 bagi satu-satu pemindahan dengan membawa sehingga dua lori termasuk lori tangki.
Selain itu, dia juga berperanan dalam menjaga stor haram yang menjadi markas pemindahan diesel subsidi.
“Ini kerja part-time sahaja dengan saya turut bekerja sebagai pemandu treler. Biasanya dalam kerja sindiket mampu dapat sehingga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan sebagai pendapatan sampingan.
“Mereka ini (empat suspek lain) rakan dan saya adalah ketuanya,” katanya di sini.
Terdahulu, lelaki tersebut bersama empat suspek lain berusia 30 hingga 45 tahun diberkas dalam operasi bermula pukul 7 malam di sebuah premis tidak bernombor di Taman Sri Muda.
Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan melibatkan 25 anggota dan pegawai.
Jelas Rav, dia melakukan pemindahan haram diesel subsidi hampir setiap hari dengan lori tangki yang penuh akan dihantar ke sebuah lokasi berhampiran sekitar Taman Sri Muda.
Sebuah lori tangki mampu memuatkan diesel lebih 19,000 liter.
“Biasanya dalam tempoh lebih sejam selesai pindah diesel. Kemudian, saya hantar dan parkir lori tangki itu di satu lokasi. Ada orang lain yang uruskan selebihnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek memaklumkan dia juga baharu enam bulan menyertai sindiket dengan mengambil diesel subsidi sekitar Shah Alam.
“Sekali trip dapat RM120 dapatlah untung sampai RM3,000 sebulan. Lagipun rakan yang offer kerja ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Part time’ bawa lori seleweng diesel dapat RM4,000 sebulan appeared first on Kosmo Digital.