Auto Added by WPeMatico

BALIK PULAU – Mahkamah Sesyen di sini hari memerintahkan guru lelaki yang bertindak mengelar isterinya dengan sebilah pisau minggu lalu, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, memandangkan dia tidak memahami sebarang pertuduhan yang dibacakan jurubahasa termasuk tidak mengingati nombor kad pengenalannya sendiri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa
telah melakukan cubaan bunuh dengan menggunakan sebilah pisau yang mana perbuatan itu boleh menyebabkan kematian kepada seorang wanita berusia, 28 tahun di dalam bilik sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, 27 Ogos lalu, kira-kira pukul 5.45 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.
Dalam prosiding, Lushani memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Peguam tertuduh iaitu Yazid kemudiannya menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan Timbalan Pendakwa Raya terbabit.
”Kami sudah beberapa kali berbicang dengan anak guam, namun anak guam tidak memahami apa yang dicakap oleh peguam.
”Mohon anak guam kami dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.
Hakim Ahzal kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia dan menetapkan tarikh 8 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Kelar isteri: Guru tidak ingat, tak faham pertuduhan appeared first on Kosmo Digital.