Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan sebarang bentuk sumbangan atau tajaan kepada institusi pendidikan perlu mematuhi garis panduan bagi menjamin keselamatan serta penyelarasan yang teratur.
KPM dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, yayasan dan individu, namun tindakan perlu melalui proses yang sah.
Penjelasan ini dibuat susulan hantaran tular melibatkan seorang pempengaruh yang mendakwa menaja pendingin hawa untuk sebuah sekolah di Putrajaya, baru-baru ini.
“Sekian lama, KPM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, yayasan dan orang perseorangan untuk tujuan penyelenggaraan institusi pendidikan.
“Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan mengikut garis panduan sedia ada bagi memastikan proses penyaluran sumbangan yang teratur,” jelas KPM, hari ini.
KPM berkata, pihaknya bertanggungjawab memastikan semua sekolah selamat dan selesa untuk murid serta guru, selaras dengan peranan sebagai penyedia utama kemudahan pendidikan negara.
Katanya, tindakan selanjutnya berhubung isu berkaitan telah diambil oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kementerian itu sekali lagi menegaskan komitmen pihaknya untuk menyediakan infrastruktur dan fasiliti terbaik demi manfaat murid, guru dan seluruh warga pendidikan.
“KPM sentiasa berusaha untuk memastikan infrastruktur dan fasiliti terbaik dapat disediakan demi manfaat murid, guru dan seluruh warga pendidikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.
The post Sebarang tajaan mesti ikut saluran betul – KPM appeared first on Kosmo Digital.