Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) terus memperkasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan syarikat itu dengan menaja seramai 36 individu asnaf bagi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
Menerusi tajaan berkenaan, kesemua jemaah dari Selangor dan Putrajaya itu akan menikmati pakej umrah selama 13 hari selain diterbangkan ke Tanah Suci menerusi penerbangan Etihad Airways.
Lembaga Pengurusan Umrah Andalusia, Norrul Balqes Abu Baker berkata, pemilihan jemaah asnaf itu dibuat dengan kerjasama masjid angkat Andalusia di Bangi dan Putrajaya bagi mengenal pasti kumpulan terlibat di kawasan tersebut.
“Antara kategori asnaf yang kami cari untuk tajaan itu termasuklah berusia atas 50 tahun serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.
“Selain itu, ada juga seorang asnaf terpilih untuk tajaan CSR ini merupakan golongan mualaf,” katanya kepada Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini tadi.
Untuk maklumat, tajaan kepada kumpulan asnaf itu melibatkan pakej bernilai sekitar RM8,390 dengan perjalanan selama lima hari di Madinah dan tujuh hari di Mekah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pakej ditawarkan kepada jemaah terlibat, Norrul Balqes berkata, ianya disifatkan lebih istimewa berikutan turut dilengkapi elemen ziarah ke Abu Dhabi.
“Pada kali ini, istimewanya pakej ini bukan sahaja jemaah menunaikan umrah dan ziarah di Madinah, tetapi berpeluang berkunjung ke Abu Dhabi semasa penerbangan pulang dari Jeddah.
“Jadi, mereka akan berpeluang melakukan ziarah ke tempat menarik di Abu Dhabi yang mana salah satunya ialah Masjid Sheikh Zayed yang merupakan antara masjid tercantik di dunia,” katanya.
Jelasnya, pakej seperti ziarah ke Abu Dhabi bukan sahaja ditawarkan kepada jemaah menerusi program itu, sebaliknya turut dibuka kepada mana-mana jemaah yang berminat.
“Untuk makluman, Andalusia bukan sahaja menawarkan penerbangan terus ke Tanah Suci, tetapi turut menyediakan pakej ziarah seperti ke London, Paris, Itali, Istanbul dan Sepanyol.
“Bagi musim terbaru, kita juga ada menyediakan pakej ziarah ke Istanbul dan Sanliurfa yang mana destinasi itu merupakan antara tempat bersejarah Nabi Ibrahim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Andalusia perkasa program CSR, taja 36 asnaf tunai umrah appeared first on Kosmo Online.
