Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) digesa menjelaskan secara terperinci syarat tahanan rumah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan tindakan diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat secara nyata.
“Paling kurang, Datuk Seri Anwar perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya jika ada pelanggaran yang nyata, tindakan boleh diambil.
“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat agar pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, berita mengenai pengampunan bersyarat dan tahanan rumah yang diberikan kepada Najib semestinya menerima reaksi berbeza daripada pelbagai lapisan rakyat.
Katanya, ada yang marah dan kecewa, manakala sebahagian lagi gembira dengan keputusan tersebut.
Beliau berharap rakyat diberikan ruang untuk menzahirkan pandangan masing-masing selagi berada dalam batas undang-undang, namun meminta mereka berpada-pada kerana keputusan itu telah dibuat di bawah pentadbiran PH.
“Anwar serta pimpinan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanggungjawab memberikan penjelasan sebaik-baiknya serta tidak mengulangi hujah bahawa perkara tersebut berada di luar kawalan mereka.
“Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Datuk Seri Anwar dan PH ada kepada rakyat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), terutamanya individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian sehingga isu 1MDB diketahui umum.
“Datuk Seri Anwar mendapat laba besar daripada isu 1MDB. Selain ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis ucapan, beliau tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain,” katanya.
Rafizi berkata, ketika kemuncak pertembungan berkaitan skandal 1MDB antara 2015 hingga 2018, Anwar berada di penjara, manakala tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat dipikul oleh penjawat awam, pengamal media dan aktivis.
Katanya, skandal itu turut meyakinkan sebahagian rakyat yang tidak pernah mengundi PH untuk memilih gabungan berkenaan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2018.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan keputusan tahanan rumah tersebut, sekurang-kurangnya bagi menenangkan rakyat yang kecewa.
Pada masa sama, Rafizi mengingatkan rakyat supaya terus mendidik golongan muda mengenai perkara yang berlaku serta kepentingan membudayakan pentadbiran negara yang berintegriti.
“Kepada Datuk Seri Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka daripada skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
“Sementara saya berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat, sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi lain,” katanya.
Terdahulu, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas mendapat pengampunan bersyarat.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri berkata, pengampunan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 hari ini.
Menurutnya, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta oleh Najib. – UTUSAN
The post Anwar, PH perlu perjelas syarat tahanan rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.
