Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam perjalanan ingin menuntut ilmu pagi tadi disifatkan sebagai golongan mati syahid.
Menurut penjelasan oleh Ustaz Ubaidillah Al-Musawi, ia berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan At-Thobrani.
“Terkait kemalangan bas yang melibatkan pelajar UPSI yang sebahagiannya telah meninggal dunia, apakah boleh kita mengatakan bahawa dia mendapat syahid?
“Jawapannya, ya, ini berdasarkan apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW. Maksudnya: “Orang yang jatuh dari tunggangan lalu meninggal maka dia syahid.” (Hadis Riwayat At-Thobrani),” katanya.
Ubaidillah juga berkata, kesemua pelajar itu bahkan mendapat dua kali syahid kerana bukan sahaja meninggal dalam kemalangan malah ‘pergi’ ketika dalam perjalanan ingin menuntut ilmu.
“Tidak hanya satu syahid, bahkan dua kali syahid, kerana perjalanannya menuju ke medan ilmu, ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang lain, Nabi bersabda; ‘Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka ia berada di jalan Allah hingga ia pulang.’ (Hadis Riwayat At-Tirmizi),” katanya.
Ubaidillah berkata, menuntut ilmu itu seumpama jalan Allah iaitu jihad, maka mati di medan jihad syahid, bermaksud mati di medan ilmu syahid.
“Maka berkumpul lah dua syahid kepada mangsa-mangsa kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI,” tulisnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik, pagi tadi.
Difahamkan bas UPSI itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banun menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan 48 orang mangsa itu pada pukul 1.10 pagi.
Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.11 pagi mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dengan sebuah bas yang telah terbalik.
“Anggota APM telah membawa beberapa mangsa yang cedera ke Hospital Gerik, antaranya mereka yang mengalami kecederaan patah tangan, patah kaki Dan cedera ringan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tidak hanya satu, bahkan dua syahid kerana pergi menuntut ilmu’ appeared first on Kosmo Digital.